Tuesday, June 21, 2011

Sony perkenal Playstation Vita

Sony perkenal Playstation Vita


LOS ANGELES 7 Jun - Sony semalam memperkenalkan generasi baru alat permainan mudah alih 'PlayStation Vita' serta judul-judul konsol 'blockbuster' 3D dalam usaha untuk memulihkan imejnya selepas diaibkan oleh serangan siber ke atas sistem permainan komputernya.
Gergasi hiburan Jepun itu menukar arena sukan Los Angeles menjadi sebuah medan muzik dan permainan video, dengan fokus kepada permainan komputer dan perkakasan baru menjelang pembukaan Ekspo Hiburan Elektronik (E3), hari ini.
"Ini bukan kali pertama saya tampil di pentas E3 dengan dibayangi oleh isu besar," kata ketua eksekutif Sony Computer Entertainment of America, Jack Tretton kepada 6,000 orang yang memenuhi arena tersebut.
Beliau memohon maaf kepada mereka yang menggunakan PlayStation Network (PSN) untuk dihubungkan dengan permainan, filem dan muzik dalam talian menerusi konsol permainan PlayStation 3 (PS3).
PSN ditutup selepas penggodam menceroboh rangkaian itu dan mencuri data pengguna.
Sony membawa kembali sistem itu ke dalam talian secara beransur-ansur dalam tempoh beberapa minggu sebelum E3 selepas mengukuhkan sistem pertahanannya.
Tretton mengucapkan terima kasih kepada peminat PS3 kerana kesetiaan mereka, sambil berkata, tahap lalu lintas dalam talian di PSN sudah pun melebihi 90 peratus daripada tahap sebelum gangguan manakala jualan konsol melonjak minggu lepas.
Selepas selesai memohon maaf, para eksekutif Sony segera mengalihkan fokus hadirin kepada barisan permainan video baru dengan judul 3D sensasi seperti siri francais Drake's Fortune: Uncharted yang dijadual dilancarkan pada November ini.
"Komitmen kami terhadap 3D tidak berbelah bahagi," jelas Tretton, dengan menambah, Sony tidak lama lagi akan mempunyai lebih 100 judul dalam format itu termasuk judul God of Wardalam edisi koleksi. - AFP

No comments:

Post a Comment